Selamat Melayari Blog Ini...dan ...Sampaikanlah Ilmu Walaupun Sebaris Ayat

Carilah ilmu walau di mana jua kita berada dan kemudian sampaikanlah pula kepada orang lain kerana apabila kita mati kelak, tiada apa yang dapat membantu kita, melainkan 3 perkara dan salah satu darinya adalah ilmu yang diperoleh,diguna dan dimanfaatkan pula oleh orang lain...Selamat...

Sunday 9 April 2017

KEPUASAN SISWA GURU PENGKHUSUSAN PENDIDIKAN KHAS TERHADAP KUALITI DAN KESAN BIMBINGAN PENSYARAH PENYELIA DALAM PROGRAM MENTORAN PRAKTIKUM FASA I, 2016

KEPUASAN SISWA GURU PENGKHUSUSAN PENDIDIKAN KHAS TERHADAP KUALITI DAN KESAN BIMBINGAN PENSYARAH PENYELIA DALAM PROGRAM MENTORAN PRAKTIKUM FASA I, 2016

Syed Ismail Syed Mustapa,PhD
Ahmad Subki Miskon
          Jabatan Penyelidikan & Inovasi Profesionalisme Keguruan
 IPG Kampus Ilmu Khas

  Mohd Yusof Mohd Noor
Jabatan Pendidikan Khas
IPG Kampus Ilmu Khas


ABSTRAK

Kajian ini dijalankan untuk mengkaji kepuasan siswa guru pengkhususan pendidikan khas terhadap kualiti dan kesan bimbingan pengajaran pensyarah penyelia dalam program mentoran praktikum Fasa 1, 2016. Sampel kajian ini adalah 13 orang siswa guru semester 5 ambilan Jun 2014 dari Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGK IK) yang mengikuti 2 bidang pengkhususan iaitu Pengkhususan Pendidikan Khas Masalah Penglihatan dan Pendidikan Khas Masalah Pendengaran. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan menggunakan instrumen soal selidik sebagai rujukan utama. Kajian mendapati bahawa kepuasan siswa guru terhadap bimbingan pensyarah penyelia berada pada tahap tinggi dengan min melebihi daripada 4.01. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa kesan bimbingan pensyarah terhadap siswa guru pengkhususan Pendidikan Khas Masalah Penglihatan berada pada tahap tinggi dengan catatan min 4.30 (sp= .42), manakala kesan terhadap siswa guru pengkhususan Pendidikan Khas Masalah Pendengaran pula berada pada tahap sederhana tinggi iaitu dengan catatan min 3.99 (sp=.50). Selain itu dapatan kajian menunjukkan antara kekuatan yang ada pada siswa guru adalah membentuk hubungan dengan semua pihak, kebolehan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran, dan nilai profesionalisme keguruan. Kajian ini membuktikan bahawa siswa guru sangat berpuas hati terhadap bimbingan pengajaran pensyarah penyelia semasa program praktikum Fasa 1 dan bimbingan yang diberikan turut memberi kesan kepada kompetensi siswa guru.



Kata Kunci : Bimbingan Praktikum, penyeliaan dalam praktikum, mentoran praktikum.

TAHAP STRES SISWA PENDIDIK IPG KAMPUS ILMU KHAS SEMASA PRAKTIKUM DI SEKOLAH

Diterbitkan dalam Jurnal Tempawan IPG Kampus Ilmu Khas Jilid XXlll 2016
&
dibentangkan dalam Wacana Ilmu, IPG Kampus Ilmu Khas pada 23 November 2016

TAHAP STRES SISWA PENDIDIK IPG KAMPUS ILMU KHAS SEMASA PRAKTIKUM DI SEKOLAH

Syed Ismail Syed Mustapa, PhD
Ketua Jabatan
Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan, IPGK IK

Lye Guet Poh
Jabatan Pengkhususan Bahasa Inggeris, IPGK IK

ABSTRAK

Kajian ini dijalankan bertujuan untuk meninjau tahap stres siswa pendidik Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur semasa mereka menjalani praktikum di sekolah. Kajian ini telah ditadbir ke atas 93 orang siswa pendidik Ambilan Januari 2012 yang mengikuti program pengkhususan Pendidikan Khas Masalah Pendengaran, Pendidikan Khas Masalah Penglihatan, Pendidikan Muzik dan Bahasa Inggeris. Temu bual digunakan untuk mengumpul maklumat bagi menyokong data kuantitatif. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap stres dalam kalangan siswa pendidik IPG Kampus Ilmu Khas semasa mereka menjalani praktikum berada pada tahap sederhana tinggi dengan catatan min 3.02 (sp=.90). Kajian juga mendapati bahawa kesemua bidang pengkhususan mencatatkan stres pada tahap sederhana tinggi iaitu dengan min antara 2.34 hingga 3.67. Selain itu dapatan kajian keseluruhan menunjukkan bahawa aspek perancangan pengajaran merupakan stres tertinggi kepada siswa pendidik dengan catatan min 3.31 (sp=.99). Seterusnya dapatan kajian mendapati bahawa pengurusan sekolah dan pengurusan bilik darjah juga menjadi faktor penyumbang kepada stres dalam kalangan siswa pendidik semasa mereka menjalani praktikum. Sehubungan dengan itu pensyarah penyelia dan guru pembimbing disarankan agar dapat membantu siswa pendidik untuk mengatasi stres dengan memberi bimbingan dengan lebih berfokus.

Kata Kunci : Stres, Praktikum, Bimbingan Praktikum

ABSTRACT

The aim of this study is to determine the level of stress among student teachers of Institute of Teacher Education (ITE) Ilmu Khas Campus, Kuala Lumpur during their Phase III Practicum in 2015. The study was administered to 93 Semester 7, 2012 January intake student teachers from Special Education Department, Music Department and English Studies Department. Quantitative and qualitative data were collected through questionnaires and open ended questions simultaneously.The overall results showed that the level of stress among student teachers from the Institute of Teacher Education  Ilmu Khas Campus is moderately high, with a mean of 3.02 (sd=0.9) during their teaching practice Phase III in 2015.   The results also showed a moderately high level of stress, with a mean of 2.34  to 3.67 for all the student teachers from all the three departments.  Lesson planning was found to be the main fator that contributed the highest level of stress for the student teachers, with a mean of 3.31 (sd=0.99). Furthermore, this study also revealed that adminstration matters and classroom management contributed the stress among student teachers during their teaching practice. Therefore it is recommended that the supervisors and cooperating teachers help the student teachers overcome stress by being more focused on the guidance provided.


Key Words: Stress, Practicum, Practicum guidance

PENGUASAAN KEMAHIRAN INSANIAH DALAM KALANGAN SISWA GURU SEMESTER 8, AMBILAN JANUARI 2013, PENGKHUSUSAN PENDIDIKAN KHAS, IPG KAMPUS ILMU KHAS

Dibentangkan dalam Wacana Ilmu, IPG Kampus Ilmu Khas pada 23 November 2016

PENGUASAAN KEMAHIRAN INSANIAH DALAM KALANGAN SISWA GURU SEMESTER 8, AMBILAN JANUARI 2013, PENGKHUSUSAN PENDIDIKAN KHAS, 
IPG KAMPUS ILMU KHAS

Syed Ismail Syed Mustapa, PhD
Ismail Raduan, PhD
Ahmad Subki Miskon


Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan
IPG Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur

Abstrak

Kajian ini dijalankan dengan bertujuan mengenal pasti tahap penguasaan kemahiran insaniah dalam kalangan siswa guru semester 8, Ambilan Januari 2013, Pengkhususan Pendidikan Khas, IPG Kampus Ilmu Khas. Seramai 51 orang siswa guru Pengkhususan Pendidikan Khas opsyen Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan), Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) dan Pendidikan Khas (Pemulihan) telah terlibat dalam kajian ini. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan menggunakan instrumen soal selidik sebagai rujukan utama. Soal selidik dianalisis secara deskriptif menggunakan min dan sisihan piawai. Kajian mendapati bahawa tahap kemahiran insaniah siswa guru bagi ketiga-tiga opsyen berada pada tahap tinggi dengan min 4.31 (sp=.36). Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa secara keseluruhannya aspek kemahiran insaniah yang tertinggi siswa guru bagi ketiga-tiga opsyen pengajian adalah dalam aspek Etika Profesionalisme dengan min 4.67 (sp=0.44). Dapatan ini menunjukkan siswa guru siswa guru semester 8, Ambilan Januari 2013, Pengkhususan Pendidikan Khas, IPG Kampus Ilmu Khas. telah menguasai kemahiran insaniah yang diperlukan dalam kerjaya sebagai seorang guru. Kajian ini juga mendapati bahawa pada perspektif siswa guru program pengajian di IPG telah berjaya membentuk kemahiran insaniah. Melalui Ujian-t dan ANOVA didapati bahawa faktor jantina memberi kesan, manakala pengkhususan pengajian pula tidak memberi kesan kepada pembentukan  kemahiran insaniah dalam kalangan siswa guru. Walau bagaimanapun secara keseluruhannya, kemahiran penyelesaian masalah masih perlu dipertingkatkan supaya siswa guru lebih berupaya menangani permasalahan yang wujud di sekolah kelak.


Kata Kunci: siswa guru; kemahiran insaniah, kemahiran penyelasaian masalah